Pendidikan Dalam Tamadun Islam -

PENDAHULUAN

Institusi-institusi pendidikan di zaman kerajaan islam telah lama wujud selaras dengan perkembangan agama islam lagi. Institusi-institusi ini ditubuhkan sejak dari zaman Rasulullah hinggalah ke zaman sekarang. Institusi-institusi ini di tubuhkan secara formal dan tidak formal. Institusi ini merupakan suatu sistem peraturan yang bersifat mujarrad (abstrak) dan suatu konsepsi. Institusi juga terdiri dari kod-kod norma, ideologi-ideologi sama ada bertulis atau tidak. Institusi yang bersifat sosial pula seperti analisis-analisis yang seragam dan bertulis atau bersifat individual seperti sikap orang-orang tertentu. Definisi-definisi institusi ini bergantung kepada pendapat umum sama ada secara formal atau tidak formal

1) TEMPAT PENDIDIKAN SEBELUM PENUBUHAN SEKOLAH
A) ZAMAN RASULULLAH S.A.W.
Rasulullah s.a.w tidak jemu-jemu memberi rangsangan supaya orang Islam tekun dan sentiasa belajar. Memebaca dan menulis merupakan kunci ilmu. Baginda pernah menerima khidmat orang Yahudi dan Nasrani bagi menyampaikan pelajaran. Syarat pembebasan diri bagi tawanan perang seperti tawanan perang Badar ilah mengajar anak-anak orang islam. Kepentingan ilmu dalam Islam jelas kelihatan dengan wahyu pertama yang diterima oleh rasululllah s.a.w yang memerintahkan baginda mrmbaca yakni mempelajari ilmu pengetahuan. Bacalah dengan menyabut nama Tuhanmu Yang Menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah”. (al-Quran, surah al-Alaq 96 :1-2)

Rasululllah menjadikan rimah al-Arqam bin Abu al-Arqam sebagai tempat belajar yang di kenali sebagai “Dar al-Arqam”. Baginda pula bertindak sebagai guru dan pendidik yang ulung (4) . Dirumah tersebut baginda menyampaikan dasar-dasar agama dan pengajian al-Quran. Selain dari rumah al-Arqam baginda juga menjadikan rumah baginda di Mekah sebagai tempat belajar.

Masjid pula ditubuhkan pada tahun 622 Masehi setelah penghijrahan baginda ke Madinah. Di Madinah, masjid yang ditubuhkan ialah Masjid Quba dan Nabawi. Masjid tersebut berfungsi sebagai markas bagi segala aktitviti keagamaan dan ke masyarakatan khususnya dalam hal-hal yang berkaitan dengan ibadat dan pendidikan. Bentuk pengajiaan di masjid Nabawi adalah bentuk pengajiaan tidak formal.

Bentuk pendidikan yang formal dan sistematik di adakan apabila surau yang bersambung dengan masjib didirikan. Institusi tersebut dikenali sebagai al-Suffah. Mata pelajaran yang di ajar ialah al-Quran, dasar-dasar Islam, seni khat, sejarah, menunggang kuda, memanah, dan bahasa bangsa asing. Sistem pendidikan yang diajar ialah merangkumi sistem pendidikan jasmani dan rohani (5) .

Untuk mengembangkan lagi rangcangan pendidikan Rasulullah telah menghantar sekurang-kurang 40 orang sahabat (r.a) untuk menjadi guru kepada masyarakat di luar Madinah. Dengan pelbagai rancangan yang di perkenalkan, masjid dan al-Suffah menjadi tempat pengajian utama ketika itu.

B) ZAMAN PARA SAHABAT DAN TABI’IN
I. ZAMAN KERAJAAN BANI UMAIYYAH
Pada zaman pemerintahan bani umaiyyah, para sahabat dan tabi’in berlumba-lumba membina institusi pengajian Islam, antaranya ialah masjid, kuttab, istana, kedai-kedai saudagar dan rumah (6) . Pelajaran yang diajar pula ialah ilmu tafsif, hadith’ fiqh, bahasa, kesusasteraan Arab dan lain-lain. Pelajaran tersebut diajar dalam bentuk syarahan. Selain itu muncul beberapa aliran ilmu iaitu ilmu Kalam, undang-undang tasawuf, dan falsafah.sebagai contoh institusi pendidikan ialah :-

a) PENDIDIKAN DI ISTANA
Permulaan pendidikan di istana ialah di istana khalifah-khalifah dan pembesar-pembesar untuk mendidik putera-putera mereka sebagai persediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai khalifah dan pembesar di masa hadapan.

Sistem pendidikan yang di ajarkan di istana di rencanakan oleh ibu bapa pelajar itu sendiri bagi tujuan pelajaran yang akan di ajarkan dapat diterima oleh anak-anak mereka. Contoh rencana pendidikan oleh Harun ar-Rashid kepada al-Ahmar pendidik al-Amin putera mahkota.

“ Hai Ahmar !bacakanlah kepadanya alQuran, ceritakan kepadanya peristiwa-peristiwa, riwayatkan
kepadanya syai-syair, ajarkan kepadanya sunnah-sunnah nabi, tunjukkan kepadanya bagaimana menyusun perkataan dan memulainya. Kurangkanlah ketawanya kecuali waktunya. Biasakanlah dia menghormati orang-orang besar Bani Hasyim bila mereka mengunjunginya dan meninggikan tempat duduk panglima-panglima tentera apabila mereka menghadiri majlisnya. Jangan biarkan waktu berlalu walaupun sesaat tanpa engkau usahakan sesuatu yang berfaedah baginya tetapi dengan tidak menyusahkan hatinya kerana apabila hatinya susah maka tumpullah otaknya. Jangan engkau telampau berlapang dada terhadapnya kerana dengan demikian dia akan malas berkerja dan terbiasa menganggur. Asuhlah dia dengan baik dan lemah lembut sedapat mungkin akan tetapi kalau demikian tidak mempan terhadapnya maka pakailah kekuatan dan kekerasan”.


b) KEDAI-KEDAI SAUDAGAR
Pasar-pasar bangsa Arab di zaman jahilliah bukan sahaja di datangi oleh bangsa Arab untuk urusan perniagaan dan jual beli sahaja tetapi mereka mengambil kesempatan berkumpul di pasar itu dan di gunakan untuk kegiatan-kegiatan kesusasteraan.

Selain itu kedai-kedai kitab juga menjadi gelanggang bagi pelajar dan para ulama untuk mereka berbahas dan bersoal jawab contoh berdasarkanapa yang dituturkan oleh al-Maqrizi (diringkaskan) :-
“ Pasar-pasar ini terletak di antara as-Saghah denga sekolah as-Salibiah. pasar ini didirikan sesudah tahun 700 H. pasar-pasar buku sebelum itu adalah di hadapan bahagian yang sebelah timur dari Masjid Amr. Tidak lama sesudah di bangunkan, pasar ini telah menjadi medan pertemuan bagi orang-orang berilmu. Pernah dideklamasikan sajak salah seorang dari mereka iaitu :-

“ Duduk di pasar-pasar itu tercela tetapi ada pula di situ majlis-majlis terpuji. Maka jangan lah engkau dekati selain pasar kuda, pasar senjata dan pasar buku-buku. Dua yang di muka adalah alat para pahlawan dan yang terakhir adalah para sasterawan”.

Kedai-kedai kitab ini telah memberi pengaruh yang nyata dalam bidang kecerdasan.
Kedai-kedai kitab ini telah lahir sejak permulaam kerajaan Bani Abbas dan kemudian tersebar keseluruh ibu kota dan berbagai negeri dalam alam Islam.
Perbezaan antara kdua-dua pasar itu ialah :-
Kedai kitab – sidang ilmiah terjadi setiap hari
Pasar Arab – di adakan ketika di kunjungi ramai dan berlaku pada musim tertentu sahaja.

II. ZAMAN KERAJAAN BANI ABBASIYAH
Zaman pemerintahan Harun al-Rashid dan Ma’mun merupakan zaman kemajuan da kegemilangan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Terdapat pelbagai pusat pendidikan yang lain ditubuhkan untuk mempelajari ilmu agama dan limu lain seperti ilmu hisab, fizik, kimia, ilmu bintang, mantiq, falsafah dan lain-lain. Kursus pengajian pula terbahagi kepada tiga peringkat iaitu permulaan, menengah dan kepakaran.

Kategori penidikan permulaan ialah kuttab dan pondok. Kuttab didirikan bertujuan memberi pelajaran awal kepada kanak-kanak selain di rumah dan masjid. Kuttab juga merupakan tempat pertemuan diantara guru dan murid. Terdapat dua jenis kutttab, iaitu kuttab yang didirikan bersambung dengan masjid dan satu lagi kuttab yang didirikan secara berasingan. Kurikulum pada semua jenis kuttab yang terdapat di seluruh dunia Islam Semenanjung Tanah Arab, Mesir, Iraq adalah sama. Selain al-Quran dan al-Hadith terdapat pelajaran tulisan (khat) , tatabahsa, kesusasteraan dan sejarah.

2) TEMPAT PENDIDIKAN SELEPAS PENUBUHAN SEKOLAH
Institusi sekolah dan madrasah mula di perkenalkan pada akhir abad ke 4 Hijrah oleh penduduk Naisabur iaitu al-Madrasah al-Baihaqiyyah. Madrasah merupakan institusi pertama berbentuk persekolah di dunia Islam.

Pada mula sekolah tersebut ditubuhkan hanya bertujuan melawan pengaruh syiah dengan mengajar ajaran sunni, tetapi pada zaman Nizam al-Mulk iaitu perdana menteri di bawah ‘Alp Aistan dan Malik Syah’, sekolah-sekolah tersebut di perkembangkan.

Kemudian aktiviti memperkembangkan dan memperkenalkan sekolah-sekolah diteruskan pula oleh Nur al-Din iaitu pengasas pertama sekolah-sekolah di Damsyik (14) .

Begitu jugalah dengan zaman al-Mustansir. Beliau telah menubuhkan sebuah maktab yang bernama al-Muntansiriyah di Baghdad. Disitu diajar mengenai 4 fiqah yang tekenal. Gurunya di bayar gaji oleh kerajaan dan pelajar tidak perlu membayar yuran bahkan diberi biasiswa. Pada abad yang sama Madrasah al-Nasiriyah di Kaherah dan Madrasah al-Nuriyah di Damsyik menjalankan fungsi yang sama sebagai institusi pendidikan. Kurikulum pelajaran bagi institusi-institusi tersebut selain dari ‘aqidah dan syari’ah ialah ilmu matematik, fizik, kimia, astronomi, mantiq, falsafah, kesusasteraan, sejarah seni muzik, dan seni bina.

A) ZAMAN KERAJAAN ISLAM SEKARANG
I. INSTITUSI PENDIDIKAN TIDAK FORMAL
Di Indonesia menurut kebiasaan kanak-kanak berumur tujuh tahun akan dihantar kesurau untuk mengaji al-Quran, ibadat, tauhid dan akhlak. Begitu juga di Fhilipina, kanak-kanak mula belajar al-Quran di surau dan rumah guru. Situasi yang sama berlaku di Tanah Melayu. Begitu juga peranan masjid dan surau, ia terus menjadi pendidikan tidak formal.

II. INSTITUSI PENDIDIKAN FORMAL

a) SISTEM PENDIDIKAN PONDOK
Sistem pendidikan pondok merupakan antara institusi pendidikan islam yang bersifat formal dan mempunyai pengaruh yang besar di kalangan masyarakat melayu. Sistem pengajian pondok mula berkembang sejak abad ke 18 Masehi hingga ke abad 20 Masehi. Sistem pengajiaan sebegini berkembang pesat di kelantan, terengganu, Kedah dan Perlis. Antara institusi yang terkenal menggunakan sistem ini ialah Pondok Kubang Pasu dan Pondok Tuk Kenali di Kelantan, Pondok Tuk Ku Pulau Manis dan Hj Wan abdul Latif di Terengganu dan pondok Batu 16 (Pak Ya) di Kedah.

b) SISTEM PENDIDIKAN MADRASAH
Institusi pendidikan Islam berkembang setapak lagi di Alam melayu dengan Pengenalan Sistem Madrasah yang merupakan institusi pendidikan yang lebih sistematik. Madrasah pertama yang didirikan ialah al-Madrasah al-Masriyyah di bukit Mertajam pada tahun 1906 Masehi, di ikuti oleh Madrasah Iqbal al-Islamiyah di Singapura, al-madrasah al-Ahmadiyah di Riau, Madrasah Muhammadiah Melayu di Kelantan, al-Madrasahal-Mashur al-Islamiyyah di Pulau Pinang, al-Madrasah al-Khairiyyahdi Johor, al-Madrasah al-‘Alawiyyah al-Madaniyyah di Perlis, Ma’ahad Mahmud di Kedah dan lain-lain.

III. PERPUSTAKAAN
Dalam dunia pendidikan perpustakaanadalah salah satu institusi pendidikan yang di akui dari dahulu hingga ke zaman sekarang. Dalam bahasa Arab para cendikiawan di panggil wa si’al-ittila’ (luas bacaan) atau Bahr fi al-‘ilm (lautan ilmu) . Sehubungan dengan kewajipan membaca, sudah tentu ada pula kewajipan orang tertentuuntuk menghasilkan, mengeluarkan dan mnghimpun buku-buku bacaan. oleh itu wujudlah beberapa jenis perpustakaan iaitu perpustakan awam setengah awam dan persendirian.

 PERPUSTAKAAN AWAM
Wujud di masjid-masjid dan institusi pendidikan sehingga tidak
terhitung banyaknya. Contoh :-
• Byt al-hikmah
• Khizanat Sabu (dar al-Ilm)
Perpustakaan yang terbaik yang pernah ada oleh Abu Nasr
Sabur bin Ardasyir (m.d 416 hijrah perdana menteri kerajaan Buwayhids) . Terdapat 100 naskhah Al-Quran yang ditulis oleh Banu Muqlah dan 10400 jilid buku yang kebanyakan ditulis tangan atau telah dimiliki oleh ulama-ulama terkenal. Perpustakaan ini pernah menjadi pusat orang-orang terkenal dan ulama-ulama untuk mereka berbahas dan berdebat. Abu ala-al-Ma’arri, ahli falsafah buta yang terkenal (m.d 4494) sering melawat perpustakaan ini terutama apabila beliau berkunjung ke Baghdad (18) .

PERPUSTAKAAN SEPARUH AWAM
Kerana tidak di peruntukkan kepada semua golongan masyarakat dan bukan juga di perpustakaan persendirian kerana pemiliknya tidak menggunakannya. Perpustakaan ini milik khalifah-khalifah dan raja yang menubuhkannya dengan tujuan kemahsyuran.

Keanggotaannya di khaskan kepada orang yang berpangkat tinggi dan terkenal. Ibnu Sina, ahli falsafah Islam yang terkenal dibenarkan memasuki perpustakaan tetapi hanya setelah memperolehi kebenaran khas (Nicholson, 1930, 265-266) . Perpustakaan ini terdapat banyak didunia Islam di zaman pertengahan.Contoh:-
• Perpustakaan al-Nasir Lidinillah
Terkenal sebagai penguasa yang lama dalam kerajaan, berminat pada perkembangan intelektual. Memiliki 3 buah perpustakaan yang paling menarik dalam sejarah Islam. Salah satunya digambarkan oleh Ibnu Al-Athir iaitu mengandungi beribu-ribu buku yang istimewa dan sangat berharga.
• Perpustakaan khalifah-khalifah Fatimiyyah

Mengikut pakar-pakar sejarah, terdapat 2400 al-Quran
Diperpustakaan ini. Sebahagiannya ditulis tangan oleh penulis terkenal dan dijilid dengan indah, 1200 naskah dari Tarikh al –Tabari salah satunya ditulis tangan, 100 naskah buku al-Junharah oleh Ibnu Duraid, kira-kira 30 naskah kitab al-‘Ain oleh Khalid.Keseluruhan koleksi mencapai jumlah beberapa juta jilid koleksi besar ini mengandungi karya-karya dalam pelbagai mazhab, tatabahasa, bahasa, hadith, sejarah, perbincangan dan kimia. Kata Abu Syamah dan Al-Maqrizi “perpustakaan ini adalah salah satu keajaiban dunia dan merupakan perpustakaan yang istimewa di antara perpustakaan-perpustakaan yang ada pada zaman pertengahan “.


 PERPUSTAKAAN PERSENDIRIAN
Dibina oleh para ulama untuk kegunaan mereka sendiri.Oleh kerana
perpustakaan ini terlalu banyak maka beberapa perpustakaan terkenal sahaja disebutkan disini :

• Perpustakaan Fath bin Khadan (m.d 247H)
Termasuk dalam koleksi buku Fath bin Khadan ialah karangan Al-Jahiz iaitu seorang penyair dan pengarang terkenal. Al-Nadim menyatakan bahawa tidak seorang pun pernah melihat koleksi buku yang lebih baik daripada segi bilangan mahupun keindahan perpustakaan ini.
• Perpustakaan Hunain bin Ishaq (m.d 264H)
Hunain seorang pakar perubatan, dapat menguasai 4 bahasa utama pada zamannya. Iaitu bahasa Arab, Yunani, Suryani dan Paris. Jadi perpustakaan ini terkenal dengan koleksi buku-bukunya dalam bidang perubatan dan bahasa. Hunain selalu menjelajah ke negeri-negeri lain untuk mencari buku-buku dan sering kembali dengan membawa buku yang banyak.
• Perpustakaan al-Muawaffaq bin Matran (m.d 587 H)
Seorang pakar perubatan juga seorang pencinta buku. Dalam perpustakannya terdapat kira-kira 10 ribu jilid buku.Untuk memperkayakan perpustakaannya ia menyalin buku-buku itu sendiri kerana ia seorang penulis terkenal, disamping ia menggaji 3 orang penyalin untuk maksud tersebut. Hampir semua buku yang dimilikinya diperbaiki dan dibuat penambahan olehnya dengan komennya sendiri terhadap penambahan itu.

PENUTUP
Sejak berkembangnya institusi pendidikan dari zaman Rasulullah hingga ke zaman sekarang banyak terbina tempat untuk menimba ilmu sama ada berbentuk formal atau tidak formal antaranya ialah masjid, istana, kedai-kedai buku, sekolah, madrasah termasuk juga beberapa jenis perpustakaan yang di senaraikan sebagai salah satu sumbe untuk menimba ilmu. Di sini jelaslah bahawa penubuhan institusi pendidikan ini amat penting untuk menimba ilmu, .selain itu penubuhan institusi pendidikan juga melambangkan bahawa kerajaanislam amat mementingkan ilmu dan merupakan masyarakat yang intelektual.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
Perlis
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
E: abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
W: http://abdazizharjin.blogspot.com