Tamadun Islam Berasaskan Akidah

TAMADUN ISLAM BERASASKAN AKIDAH

PENDAHULUAN
Kenbangkitan gerakkan Islam diabad ini, memperlihatkan tanda-tanda yang sihat kearah menegakkan semula masyarakat yang memahami dan menghayati ajaran islam. Penghayatan ajaran Islam dikalangan umat islam adalah bertunjang dari kefahaman, kecintaan serta keyakinan yang bertapak dihati dan jiwa orang-orang yang bergelar muslim. Masyarakat muslim sepatutnya sudah mencapai kehidupan yang lebih baik dengan berpandukan ciri-ciri tamadun islam yang terdahulu. Masyarakat muslim harus berbangga dengan usaha orang-orang muslim yang terdahulu kerana wujudnya sebuah tamadun yang terbaik dikalangan tamadun-tamadun lain. Tamadun tersebut ialan Tamadun Islam.

Tamadun islam ialah tamadun yang didirikan oleh masyarakat muslim sejak dari dulu lagi. Ia merupakan sebuah tamadun yang sepadu dengan menitikberatkan penekanan kemajuan, kerohanian serta kemajuan kebendaan. Tamadun islamlah yang telah berjaya meletakkan manusia sesuai dengan martabatnya. Mengeluarkan menusia dari kegelapan jahiliyah kepada Nur Islam. Terdapat tiga perkara penting dalam mewujudkan sebuah tamadun islam yang unggul iaitu akidah, syariah dan akhlak. Apa yang akan kita perbicangkan ialah mengenai tamadun islam yang beasaskan akidah.

APA ITU TAMADUN ISLAM.

Dapat kita lihat hari ini bahawa pengaruh Islam amat besar dalam dunia masa kini. Apa yang kita perolehi hari ini adalah hasil daripada tamadun yang telah didirikan oleh masyarakat muslim dari abad ke 7M dan telah menjadi panduan kita hingga kini. Tamadun islam adalah tamadun yang hebat berbanding tamadun barat yang lain.. Pelbagai bangsa dalam dunia ini telah bergabung dibawah naungan islam yang satu kearah membina sebuah tamadun agung sehingga wujudnya bandar-bandar terkemuka seperti Madina suatu ketika dahulu. Bandar-bandar ini menjadi pusat-pusat penting perkembangan tamadun dan kebudayaan islam seterusnya menjadi pusat tumpuan dunia dalam hal-hal keilmuan dan sebagainya. Bukan itu sahaja bahkan tamadun islam telah memberi sumbangan yang tidak ternilai dari segi kemanusiaan.

Dalam islam banyak pendapat telah dikemukan oleh saujana-saujana mengenai maksud tamadun islam. Walaupun banyak pendapat mengenainya, kesemuanya mempunyai maksud yang lebih kurang sama dan bertepatan dengan maksud tamadun islam dari kaca mata islam itu sendiri. Apabila kita merujuk kepada Bahasa Malayu, tamadun diertikan oleh Kamus Dewan Bahasa sebagai kebudayaan, peradaban dan kemajuan. Peradaban diertikan sebagai kemajuan yang meliputi kehidupan fizikal dan spritual sesutau bangsa atau masyarakat. Pengertian tersebut menepati makna tamadun islam dari kaca mata islam. Dapat disimpulkan di sini bahawa, tamadun islam ialah manifestasi kemajuan dan pembangunan yang dibina oleh masyarakat ialam berlandaskan ciri-ciri islam. Penekanan dan pembinaan tamadun islam adalah merangkumi aspek spritual, material dan intelektual. Ringkasnya islam merupakan tamadun yang bersifat ‘Multi-dimensional’.

APA ITU AQIDAH.

Aqidah ialah iman atau kepercayaan kepada Allah S.W.T yang diikat oleh dua kalimah syahadah. Ia merupakan asas kepada kewujudan agama islam. Perkataan aqidah dari segi bahasanya beerti satu ikatan yang mengikat kepada suatu kepada suatu yang lain. Aqidah merupakan satu ikatan keyakinan yang mengikat diri seseorang, pemikiran seseorang, hati seseorang dengan satu kayakinan dan dengan itu kehidupannya menjadi satu kehidupan yang terarah dan terpimpin. Sebab itulah rukun-rukun keyakinan yang ditentukan oleh islam dipanggil aqidah kerana ia telah mengikat seseorang muslim itu untuk hidup berasaskan kepada dasar-dasar keyakinan yang disebut juga sebagai ‘iman’ iaitu kepercayaan.

Dari segi istilah pula, perkataan ‘iman’ mengandungi pengertian yang sama dengan perkataan aqidah. Iman dari segi bahasa mengandungi erdi kesejahteraan dan kejujuran. Ia diambil dari perkataan amanah atau al-aman yang beerti amanah, jujur dan kesejahteraan. Orang-orang yang beriman beerti orang yang telah bersikap jujur terhadap dirinya kerana telah meletakkan dirinya pada tempat yang betul dan tidak mengkhianati dirinya. Dia beriman kepada Allah dan balasannya dia akan mendapat kesejahteraan.

AQIDAH SEBAGAI DASAR HIDUP MUSLIM

Dasar keimanan adalah asas kepada dasar hidup. Berdasarkan kepada maksud aqidah tadi, seseorang yang beraqidah Islam harus faham bahawa dengan menyebut ucapan dua kalimah syahadah telah menyebabkan dirinya terikat dengan tangunggjawab serta komitmen yang tinggi terhadap allah S.W.T. bukan sekadar ketaatan yang mutlak kepada Allah sahaja bahkan seseorang yang mengaku beraqidah islam mesti menjadikan seluruh jiwa raganya serta hidup dan matinya untuk Allah S.W.T semata-mata.

Islam meletakkan asas aqidah ini di luar alam tabi’i. Asas yang pertama iaitu Kepercayaan Kepada Allah akan dapat membentuk satu sikap hidup yang tinggi. Seseorang yang menghayati akan merasai dirinya bebas dan merdeka dari ikatan mana-mana makhluk di alam semesta ini. Sebaliknya, orang yang tidak beriman dengan Allah mempunyai satu pandangan dan nilai hidup yang akan diukur dari segi kepentingan dan hubungan dengan duniawi.

Sebagai contoh, orang-orang yang terikat dengan dunia tidak akan mempunyai keberanian untuk berperang dan sangat takut kepada mati kerana melihat hubungan hanya dengan dunia ini sahaja. Keluasan Akhirat adalah suatu perkara yang tidak lagi menimbulkan persoalan dikalangan orang-orang yang beriman kerana mereka meyakini bahawa Akhirat itu adalah satu alam yang luas. Orang yang tidak beriman meletakkan dirinya di dalam hubungan dengan dunia sementara orang yang beriman dengan allah akan memandang kehidupannya di dalam perhubungan antara dia dengan Allah yang memeliki alam semesta ini. Sebab itu dia tidak ragu-ragu untuk berjuang dan mati apabila dipanggil.

Kita diajar bagaimana caranya untuk mati kerana di dalam kita mengenali kematianlah, kita akan hidup. Seseorang yang lemah tidak akan merasa terhina dengan kelemahan, yang miskin tidak akan merasa terhina dengan kemiskinannya, yang bodoh tidak akan merasa terhina dengan kebodohannya kerana hidup bukan dinilai dari apa yang diperolehi dari benda itu tetapi dari apa yang akan diperolehi dari Allah. Demikian juga yang senang tidak akan berbangga dengan kesenangannya, yang berkuasa tidak akan berbangga dengan kekuasaannya dan yang berilmu tidak akan berbangga dengan ilmunya kerana dia tahu bahawa semuanya tidak akan beerti jikalau diletakkan dalam satu tempat yang bertentangan dengan Allah.

Dengan itu asas keimanan akan dapat membentuk satu sikap aqliyah dan ruhaniyyah yang akan dapat membangunkan satu peradaban yang tinggi. Sebab itulah kita lihat Islam meletakkan rukun-rukun keimanan yang sedemikian itu: percaya kepada Allah yang Maha Esa, percaya kepada para rasul dan malaikat, percaya kepada kitab-kitab dan hari kemudian serta qada’ dan qadar yang merupakan satu gambaran kekuasaan Allah yang tinggi, yang memiliki alam semesta ini. Menolak salah satu dari enam rukun ini beerti menolak seluruhnya kerana antara satu dengan yang lain, saling kait berkaitan. Ia mesti diterima secara menyeluruh kerana keimanan dengan Allah bergantung kepada keimanan secara menyeluruh, kerana keimanan dengan Allah bergantung kepada keimanan dengan Rasul. Kedatangan Islam bukan sekadar untuk memberitahu bahawa Allah itu wujud kerana mereka tahu Allah itu ada.

Aqidah islam itu adalah aqidah tauhid kerana ia berdasarkan keEsaan Allah sebagai pencipta seluruh alam. Manusia dituntut mengabdikan dirinya hanya kepada yang Maha Esa dan seluruh kehidupan ini bersumberkan daripadaNya sahaja. Seluruh alam semesta adalah merupakan tanda-tanda tentang kewujudan yang Maha Esa. Seseorang yang hendak menjadi muslim mesti mengisytiharkan secara terbuka akan keyakinannya bahawa “La Ilaha IllaLlah” sebagai kebenaran yang mutlak.

KESATUAN AQIDAH
Inilah yang merupakan pengertian pokok dalam keimanan, yakni aqidah dan untuk menjelaskannya lagi Allah Taala menurunkan kitab-kitab suciNya, mengutuskan semua Rasulnya dan dijadikan sebagai wasiatNya baik untuk golongan awwalin (orang-orang dahulu) dan golongan akhirin (orang-orang kemudian) .
Aqidah merupakan kesatuan yang tidak akan berubah-ubah kerana pergantian zaman atau tempat tidak pula berganti-ganti kerana perbezaan golongan atau masyarakat.
Allah ta’ala berfirman:
“Allah telah mensyariatkan agama untukmu semua iaitu yang diwasiatkan kepada Nuh yang kami wahyukan padamu, juga yang kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa, hendaklah kamu semua menegakkan agama itu dan jangan berselisih di dalam melaksanakannya (Asy-Syura: 13)

Jelaslah dari ayat di atas itu bahawa agama yang disyariatkan oleh Allah ta’ala kepada kita itu adalah sebagaiman yang pernah diwasiatkan kepada Rasul-rasulNya yang dahulu-dahulu, yakni agama yang merupakan pokok-pokok aqidah dan tiang-tiang atau rukun-rukun keimanan. Jadi bukannya cabang-cabangnya agama atau syariat-syariatnya yang berupa amalan. Sebabnya adalah kerana setiap ummat itu tentu memiliki syariat-syariat amaliah yang sesuai dengan keadaan mereka sendiri, hal-ehwal serta jalan fikiran serta kerohanian mereka itu pula.

PENGARUH AQIDAH

Apa yang ditempuh oleh manusia dan apa yang telah dilaksanakan olehnya dalam kehidupan di dunia adalah merupakan suatu pernyataan dari kenyataan aqidah atau kepercayaan. Jikalau aqidah yang terpateri di dalam jiwanya itu baik dan benar, maka baik dan benar pulalah jalan yang ditempuhnya serta lurus dalam mengerjakannya. Tetapi jikalau aqidah itu rosak dan salah, maka jalan yang ditempuhnya pun rosak, sesat dan menyeleweng dari kebenaran.
Oleh sebab itu, maka aqidah tauhid dan keimanan adalah suatu hal yang mutlak yang perlu sama sekali tidak dapat ditinggalkan oleh siapa pun, agar seseorang itu dapat mencapai kesempurnaan keperibadian dan pula merialisasikan kemanusiannya itu sendiri. Aqidah keimanan ini memberikan kesan yang besar dalam memberikan didikan yang amat luar biasa terhadap kaum mukminin yang terdahulu, yang telah menyebabkan jiwa menjadi suci, bersih dan murni, dilenyapkan sari segala penyakit seperti dengki, dendam, bangga pada diri sendiri, kefasikan, kecurangan dan lain-lain lagi. Aqidah juga dapat membersihkan kaum mukminin dari kotoran didikan yang merosakkan serta bahayanya watak yang rendah dan juga dari kejahatan pusaka adat-istiadat yang hina.

Itulah yang menyebabkan orang-orang dahulu itu menjadi tinggi dan luhur cita-citanya. Yang mereka usahakan hanyalah perkara-perkara yang agung, besar dan jaya. Mereka telah dapat menempatkan diri mereka sebagai pemimpin manusia, pembimbing ummat sedunia, dimerdekakan jiwa mereka itu dari segala macam khurafat, khayalan dan angan-angan yang buruk yang tiada faedahnya. Mereka juga dilepaskan dari belengu yang dipasang oleh para raja dan kaum bangsawan.

Sebenarnya, lebih banyak lagi pengaruh aqidah dalam kehidupan manusia. Aqidah inilah yang memantapkan hati ummat Islam dahulu, sehingga dapat memperoleh kemenangan yang gilang gemilang, membebaskan negeri itu dan ini, memerdekakan bangsa itu dan ini, dan sebagainya. Disamping itu mereka juga menanamkan ilmu dan mengajak mengamalkan amalan yang soleh. Selain itu mereka berhasil pula memantapkan kemajuan yang cahayanya bersinar ke seluruh penjuru dunia, kemanfaatannya merata ke seluruh pelusuk bumi, di timur mahupun di barat.

Itulah pengaruh dan kesan aqidah yang haq jikalau sudah benar-benar meresap dan tertanam dalam jiwa manusia.

RUJUKAN
Fadzil Mohd Noor, Hj (1986) Aqidah dan perjuangan, Kuala Lumpur: DBP
Sayid sabiq (1991) Aqidah Islam (pola hidup manusia beriman), Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd
Asyahari Abd Ghafar (1986) Sekelumit tentang aqidah, Jakarta: C. V Riva Bersaudara